ad

Jumaat, 9 Januari 2009

ROBERT KUOK HOCK NIEN






ROBERT KUOK HOCK NIEN, 84 tahun

Pengerusi Kuok Group and Kerry Group
Nilai Aset : RM 54.110 billion



"Beliau sungguh teliti, bercita-cita tinggi dan tak banyak cakap, mudah didampingi. Pertuturannya lemah lembut, sopan dan tertib. Kalau kita tak setuju dengan pendapat dia pun, kita pasti akan menghormati sikapnya," itulah gambaran yang diberi oleh Tan Sri Ramon Navaratnam mengenai Robert Kuok.

"Kunci kejayaan beliau adalah keberaniannya mencuba apa jua bidang perniagaan, ditambah pula tenaga pekerjanya yang jujur dan setia" kata sumber yang enggan namanya disebut.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan majalah alumni National University of Singapore pada 2000, Kuok berkata kejayaannya adalah hasil kerja keras. "Jangan harapkan jalan singkat untuk berjaya. Jika kita berjaya, orang akan mula memperkatakannya bertahun-tahun. Mereka akan datang jika reputasi kita kukuh".

Bapanya, Kuok Keng Kang, seorang pendatang dari wilayah Fujian, China, membentuk Tong Seng & Company di Johor selepas memperolehi lesennya dari Sultan Johor. Beliau telah menguruskan Tong Seng sebagai syarikat yang masyhur dalam bidang pengedaran beras, gula dan tepung di samping dagangan am dan barangan sejuk. Kemudian beliau diberi kontrak membekal bahan mentah untuk kira-kira 50,000 tahanan perang Jepun di Johor ketika perang tamat.

Perniagaan bapanya membolehkan Kuok belajar di sekolah aliran Cina dan Inggeris, termasuklah di Raffeles College sebelum pencerobohan Jepun. Beliau kemudian bekerja dengan Mitshubishi Dhoji Kaisha yang menjual garam, gula dan beras.

Untuk memperbesarkan perniagaan keluarganya, Kuok mencontohi hubungan rapat yang dipupuk oleh bapanya dengan pemimpin Melayu Johor.

Titik permulaan empayarnya tercatat selepas Merdeka. Beliau menubuhkan Malaysia Sugar Manufacturing Company pada tahun 1958 dengan kerjasama Mitsui Bussan Kaisha Ltd dan Sugar Nissin Manufacturing. Pada 1964, beliau membina kilang gula pertama Malaysia, Malayan Sugar Manufacturing dengan mendapat kuasa monopoli dari kerajaan.

Beliau turut membuka ladang tebu pertama negara, Perlis Plantation di tanah milik kerajaan dengan bantuan Felda. Pada sekitar 1970an, ladangnya diluaskan ke Indonesia, menjadikannya salah seorang pedagang utama gula dunia.

Urusannya mendapat kerjasama pihak berkuasa seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Amanah Saham Nasional yang membolehkan mengekalkan hubungan peringkat tertinggi dengan kerajaan.

Ini mendorong kerajaan meminta bantuan Kuok untuk menubuhkan Malaysia-Singapore Airlines(MSA) pada lewat 1960an serta syarikat perkapalan ulung negara, Malaysia Shipping Line Corporation pada 1968 ( kini MISC ). Beliau juga terbabit dengan penubuhan Bank Bumiputra Bhd dan Perbadanan Nasional Bhd yang dibentuk bagi menarik penyertaan orang melayu di bidang ekonomi.

Pada 1974, beliau memindahkan operasinya dari Malaysia dan Singapura ke Hong Kong kerana sebab-sebab cukai. Ada pihak yang mengandaikan, langkah ini disebabkan 'wujudnya persaingan sengit di kalangan usahawan Melayu dan Cina di Malaysia, disamping keperluan memelihara kepentingan beliau sendiri'.

Di Hong Kong, Kuok menubuhkan Kerry Trading Company (kerry) dan melangkah ke bidang media serta hartanah. Kerry menguasai kira-kira 10 syarikat terbitan awam Hong Kong, termasuk South China Morning Post (SCMP), akhbar berbahasa Inggeris terunggul yang dibelinya dari Rupert Murdoch pada 1993. Beliau juga mempunyai kepentingan dalam The Bangkok Post.

Dengan menggunakan SCMP, beliau mengambil alih TVE Holdings yang terbabit dalam bidang hartanah, hiburan, runcit dan penerbitan dengan harga RM570 juta(AS$150) pada tahun 1996. Beliau juga adalah ahli perniagaan Asia pertama membina rangkaian hotel lima bintang, Shangri-la.

Dari Hong Kong, Kuok beralih pula ke tanah besar China dengan melabur dalam bidang pembangunan hartanah, hotel, dagangan, komoditi, khidmat gudang dan Coca Cola.

Ketika orang lain teragak-agak, Kuok memberanikan diri melabur di Negara bergolak seperti Indonesia pada tahun 1960an dan Filipina pada 1980an. Hasilnya, beliau berjaya menjalin hubungan kukuh dengan pihak berkuasa negara terbabit sejak empat dekat lalu.

Beliau juga memupuk hubungan baik dengan ahli perniagaan Cina Asia seperti Lim Sioe Liong, Oei Hong Leong, Li Ka Shing, Tan Sri Khoo Kay Peng, Datuk Tan Chin Nam, Run Run Shaw, TT Tsui, Roberto Ongpin dan Chatri Sophonpanich dalam apa yang kikatakan 'Rangkaian Bamboo'.

(sumber : Orang Kaya Malaysia, Data Niaga.)